Profile Sekolah

Latar Belakang dan Sejarah Sekolah

Sekolah Kebangsaan Kampong Aur terletak lebih kurang 44 kilometer dari bandar  Muadzam Shah, Pahang Darul Makmur. Sekolah ini merupakan sekolah gred B dan di bawah pentadbiran Pejabat Pendidikan Daerah Rompin. Jarak di antara sekolah ini dengan Pejabat Pendidikan Daerah Rompin adalah 144 kilometer dan jarak ke Jabatan Pendidikan Negeri Pahang adalah 154 kilometer. Bilangan murid sekolah ini adalah seramai 121 orang termasuk 15 orang murid Prasekolah. Bilangan guru pula adalah seramai 20 orang dan mempunyai seramai 2 orang kakitangan sokongan iaitu seorang Pembantu Pengurusan Murid (PPM) dan seorang Pembantu Am Pejabat (PAP). Murid-murid sekolah ini datangnya daripada beberapa buah kampung. Selain Kampung Aur, terdapat empat buah kampung masyarakat Orang Asli di sekitarnya. Kampung-kampung tersebut iaitu Kampung Pelam, Kampung Keladan, Kampung Mikang dan Kampung Buluh Nipis.

Sejarah Sekolah
Sekolah Kebangsaan Kampong Aur terletak di Kampung Aur, Muadzam Shah, Pahang. Bergeografikan bukit-bukit, sekolah ini terbina di Kampung Aur. Nama sekolah ini diambil berdasarkan nama kampung tersebut. Mengikut sejarah, Kampung Aur mendapat nama disebabkan di tebing sungai di situ terdapat banyak buluh aur. Kampung Aur adalah merupakan kampung tradisional tertua di daerah Rompin. Ianya terletak di bawah Mukim Keratong. Kini Kampung Aur terletak di bawah Dewan Undangan Negeri Bukit Ibam di mana dipimpin oleh Yang Berhormat Dato’ Wan Kadri bin Wan Mahusin, DIMP.,. Semasa negeri Pahang diperintah oleh Almarhum Sultan Abu Bakar Riayatuddin Al Muadzam Shah pada tahun 1960-an dan 1970-an, baginda selalu datang ke Kampung Aur kerana ada pesta keramaian yang besar dan juga pesta menuba ikan di sungai kampung tersebut. Pesta keramaian dan menuba ikan itu telah dijadikan  acara tahunan yang mana akan dihadiri baginda Sultan Pahang.
Sekolah Kebangsaan Kampong Aur pada awalnya diusahakan dan diasaskan oleh seorang penduduk yang bernama Tuan Haji Tahir bin Sidik. Beliau telah mengasaskan sekolah ini pada tahun 1937. Beliau telah menggunakan dan menjadikan sebuah rumah untuk dijadikan sekolah. Pada awal pembukaannya, sekolah ini mempunyai hanya seramai 10 orang murid dan beliau adalah satu-satunya guru yang mengajar pada ketika itu. Beliau bukanlah seorang guru yang terlatih. Beliau telah membuka sekolah di kampung itu atas dasar ingin menolong penduduk kampung yang dahaga dan memerlukan pendidikan. Gaji beliau dibayar hasil daripada kutipan penduduk kampung. Pada tahun 1950, kerajaan telah mengambil alih sekolah tersebut, lantas menukar nama sekolah ini kepada Sekolah Kebangsaan Keratong. Tuan Haji Tahir dengan sendirinya terpaksa meletakkan jawatan. Selepas itu beliau terus tinggal di Kampung Aur sebagai penduduk biasa. Pada tahun 1970-an, sekolah ini telah bertukar nama sekali lagi menjadi Sekolah Kebangsaan Kampong Aur hinggalah sekarang.
Sebagaimana sekolah-sekolah lain, Sekolah Kebangsaan Kampong Aur telah beroperasi dengan fokus memberikan ilmu pengetahuan dan pendidikan kepada anak-anak penduduk kampung tersebut. Walaupun 70 % murid terdiri daripada murid orang Asli tetapi guru-guru tetap bersemangat untuk berkhidmat dan menabur jasa memberi pendidikan tanpa mengira agama dan bangsa.


Lencana Dan Logo Sekolah


Lencana atau logo sesebuah sekolah mempunyai maksud yang tersirat. Setiap lambang dan warna yang terdapat pada lencana atau logo sesebuah sekolah adalah lambang khas yang tersirat dan mempunyai maksud atau makna tertentu. Lencana atau logo Sekolah Kebangsaan Kampong Aur ini mempunyai makna atau maksudnya. Di segi bentuknya, ia mempunyai maknanya tersendiri. Bentuk gabungan 4 kotak bermaksud gabungan kecemerlangan sekolah yang terdiri daripada pentadbiran sekolah, guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru serta murid sekolah.
            Lima bulatan pula bermaksud pemahaman dan penghayatan 5 Rukun Negara iaitu :-
1. Kepercayaan kepada Tuhan
2. Kesetiaan kepada Raja dan Negara
3. Keluhuran Perlembagaan
4. Kedaulatan Undang-undang
5. Kesopanan dan Kesusilaan
            Manakala bulatan di luar pula membawa maksud kesepakatan semua warga Sekolah Kebangsaan Kampong Aur yang mengamalkan prinsip rukun negara.
            Di segi warna pada lencana atau logo pula, ia mempunyai makna atau pengertiannya yang tersendiri. Warna biru melambangkan perpaduan erat dan padu di kalangan warga sekolah. Warna kuning pula melambangkan keunggulan di kalangan warga sekolah. Manakala warna merah pula melambangkan semangat waja dan azam yang tinggi di kalangan warga sekolah yang begitu membara bagi memajukan budaya ilmu.
            Lencana atau logo baru Sekolah Kebangsaan Kampong Aur ini telah dicipta oleh seorang guru sekolah tersebut iaitu En. Husni Mubarak Bin Lateh @ Abdul Latiff. Beliau merupakan seorang guru yang telah lama bertugas di sekolah tersebut iaitu bermula pada 17 Jun 2002. Sekolah Kebangsaan Kampong Aur adalah merupakan sekolah yang pertama beliau berkhidmat selepas tamat pengajian di Maktab Perguruan Sultan Abdul Halim, Sg. Petani, Kedah. Kini telah 14 tahun lebih beliau menabur bakti mendidik anak bangsa di sekolah tersebut.


Lagu Sekolah
Setiap sekolah di negara kita mempunyai lagu sekolah yang tersendiri. Lagu sekolah dicipta untuk menggambarkan tentang sesebuah sekolah dan senikatanya dicipta untuk membangkitkan minat dan semangat murid untuk menyayangi, mencintai dan memberi yang terbaik untuk sekolah dalam semua bidang sama ada dalam bidang kurikulum, kokurikulum, sahsiah dan sebagainya. Sekolah Kebangsaan Kampong Aur juga tidak terkecuali mempunyai lagu sekolahnya tersendiri bertajuk “Sekolahku Yang Gemilang”. Lagu dan lirik telah dicipta oleh En Mohd Nazry bin Zulkifly yang kini bertugas sebagai Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid di Sekolah Kebangsaan Kampong Aur.

SEKOLAHKU YANG GEMILANG
Sekolahku Yang Gemilang,
SK Kampong Aur,
Ilmu Teras Perubahan,
Itulah Motto Kami,
Gurunya Berdedikasi,
Murid-murid Berkualiti,
Bersaing Di Persada Dunia,
Visi dan Matlamat Kami,
Sekolahku Yang Gemilang,
SK Kampong Aur,
Sekolahku Yang Gemilang,
SK Kampong Aur.


Pencipta Lagu dan Lirik : En Mohd Nazry bin Zulkifly


Misi, Visi Dan Motto Sekolah
Setiap sekolah di negara ini yang berada di bawah kawalan Kementerian Pendidikan Malaysia mempunyai Misi, Visi dan Motonya sendiri. Misi merupakan; 1) tugas khusus yang merupakan tanggungjawab bagi seseorang atau sesuatu kumpulan. 2) perwakilan dari sesebuah negara ke negara lain untuk melaksanakan sesuatu tugas (Dewan Bahasa dan Pustaka, 2008-2013). Misi juga merupakan satu objektif yang ingin dicapai dalam pengertian yang lebih luas atau yang menjelaskan tujuan-tujuan asas organisasi.

Misi Sekolah Kebangsaan Kampong Aur adalah seperti berikut :-

MISI SEKOLAH
MENJADIKAN SK KAMPONG AUR PUSAT PENDIDIKAN YANG MAMPU MEMBAWA PERUBAHAN KEPADA MURID-MURID DAN MASYARAKAT SETEMPAT
Visi pula adalah tanggapan dan pandangan yang jauh dan mendalam terutamanya yang berkaitan dengan perkembangan masa depan dan dsb, wawasan (Dewan Bahasa dan Pustaka, 2008 – 2013)
Visi mengandungi pernyataan tertinggi yang hendak dicapai oleh sesebuah organisasi dan lazimnya mengandungi maklumat mengenai cita-cita organisasi. Pernyataan visi adalah gambaran keunggulan prestasi organisasi yang dikongsi bersama.
Visi Sekolah Kebangsaan Kampong  Aur adalah seperti berikut :-
VISI SEKOLAH
CEMERLANG DAN BERDAYA SAING SETANDING DENGAN SEKOLAH-SEKOLAH DI BANDAR
Moto pula adalah  ”tagline” iaitu slogan. Ia merupakan kata-kata keramat yang dijadikan pegangan atau disebut juga cogan kata. Moto ialah cogan kata. Ini bermakna tagline dalam Bahasa Melayu ialah slogan atau cogan kata atau moto.
Tagline adalah kata-kata atau frasa yang indah dan menarik untuk menerangkan konsep sesuatu jenama, produk dan sebagainya (Dewan Bahasa dan Pustaka, 2008-2013)
Moto Sekolah Kebangsaan Kampong Aur adalah seperti berikut :-
MOTO

ILMU TERAS PERUBAHAN